SEMANIS UKHUWAHFILLAH, UHIBBUKIFILLAH
 Penulis: miminapis- Jumaat (24 September 2010)
Saya sentiasa mencari makna “ukhuwahfillah”, yang bermaksud “ukhuwah kerana Allah”, dan “uhibbukifillah”, bermaksud “saya sayang kamu kerana Allah”. Tahun lepas sahaja, berpuluh-puluh kali kakak-kakak dan sahabat-sahabat mengungkapkan perkataan itu kepada saya. Secara jujurnya, ada antara perkataan yang diucapkan itu betul-betul menyentuh hati, dan ada juga yang hanya sekadar dibawa angin. Tetapi, apa yang pasti, saya sangat yakin sesuatu ungkapan itu, jika diungkapkan dari hati, ianya pasti menyentuh hati si penerima!

Ada yang mengeluarkan perkataan ’ukhuwahfillah’, tetapi ianya hanya terungkap apabila masing-masing berada dalam kumpulan yang sama. Apabila sahabat ini bukan lagi dalam kumpulan yang sama, hilang sudah ungkapan ‘ukhuwahfillah’ itu. Ada pula ‘uhibbukifillah’ ketika dalam keadaan masing-masing tengah gembira. Apabila sahabat itu bersedih, ‘uhibbukifillah’ itu menjadi suram, sesuram muka sahabat yang sedang bersedih. Semua ini saya perhatikan, langsung terlintas di fikiran saya, “Betul ke ini sebenarnya “ukhuwahfillah”, “uhibbukifillah”?
Tipu!”

Dek kerana pengalaman yang banyak mengajar, sukar untuk saya melafazkan ungkapan ‘uhibbukifillah’, ‘ukhuwahfillah’ itu. Kerana, saya bimbang diri sendiri terjerat oleh lidah yang lancar menuturkan kata-kata. Kata-kata yang keluar tanpa disertakan dengan roh..kerana Allah Ta’alaitu. Tapi itu tidak bermakna saya tidak sayang pada sahabat-sahabat sekeliling, cuma saya mahu berhati-hati dalam perkataan yang dikeluarkan. Kelak,
lidah ini yang akan disoal oleh Allah SWT, sejauh mana diri ini ‘wallk the talk’.

Perkataan…kerana Allah itu sendiri membuatkan saya bermonolog dalaman. “Berat tu…sebab ianya ‘kerana Allah Ta’ala’…”. Kemudian, saya bertanya kepada diri, “Kenapa kau kata berat?”. Diri menjawab,“Sebab kadang-kadang kita lupa apa yang kita buat tu perlulah di niatkan ‘kerana Allah Ta’ala’..”. Melihat sahabat membuat kesalahan, hati terkadang takut untuk menegur, kerana? Mahu jaga hati. Saya terfikir, “Tak boleh ke sambil jaga hati tu, sambil tu kita jaga juga sahabat kita daripada melakukan sesuatu yang dilarang Allah?”..”Boleh! Cuma perlu lebih mujahadah. Yakin pada pertolongan Allah SWT!”
Apa yang saya faham dengan frasa…kerana Allah Ta’ala tersebut? Saya selalu berfikir tentang frasa tersebut. Saya berpegang pada satu jawapan, “Melakukan sesuatu kerana Allah Ta’ala itu adalah, apabila anda melakukannya, ianya mendapat ganjaran pahala, redha dan keberkatan-Nya.” Itu yang saya pegang.

Macam mana tu?
Masa berjalan, dan semestinya hidup manusia ini penuh dengan ujian dan cabaran. Disebut oleh-Nya dalam Al-Quran, pada Surah Al-Mulk, ayat 2,
“Yang menciptakan mati dan hidup, untuk menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Mahaperkasa, Maha Pengampun,”
Sepanjang tahun ini, saya dapat merasakan hampir setiap minggu, Allah SWT menunjukkan kepada saya, apa dan bagaimana “ukhuwahfillah” dan “uhibbukifillah” itu sebenarnya.

Satu hari saya dan sahabat bergurau. Mungkin pada masa itu, saya tidak sensitif dengan keadaan semasa sahabat ini, tanpa sedar, saya telah memerli sahabat ini. Niat saya tidak lebih, hanya untuk bergurau. Tapi mungkin tidak kena tempat. Kemudian, sahabat ini berkecil hati. Dia tidak memberitahu kepada saya yang dia berkecil hati, tetapi, saya sendiri dapat mengagak daripada tingkah laku dan perbuatannya. Sebagai sahabat, sudah pasti saya terasa bersalah. Sungguh, terasa sangat kekok. Kami yang selama ini rapat, tiba-tiba selepas perkara itu, intonasi percakapan menjadi tegas dan tidak lagi mudah untuk bergurau.

Saya mula bersangka-sangka. Astaghfirullahal’azim. Langsung, peringatan daripada Allah SWT tiba,

“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah banyak dari prasangka, sesungguhnya sebahagian prasangka itu dosa, dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain, dan janganlah ada di antara kamu yang menggunjing sebahagian yang lain. Apakah ada di antara kamu yang suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Tentu kamu merasa jijik. Dan bertakwalah kepada Allah, sungguh Allah Maha Penerima Taubat, Maha Penyayang." (Al-Hujarat , ayat 12)
Terdetik di dalam hati saya, “Allah SWT sedang menguji sejauh mana dahulunya kau kata pada dia, ‘uhibbukifillah’! Zahirkannya sekarang. Jangan hanya pandai bermain dengan kata-kata, menyedapkan bicara, hakikatnya, fitnah semata.”

Ayah pernah berpesan, “Hidup kat dunia ni, kalau sombong dan berlagak, sampai bila-bila orang tak suka.”Jadi, saya jadikan itu sebagai peringatan kepada diri. Lagipun tak salah untuk kita memulakan perbicaraan, mencari titik penyelesaian kepada permasalahan. Dalam masa yang sama, saya sentiasa mengingatkan diri,“Tegur kerana kau sayangkan sahabat kau, kerana Allah SWT! Jadi, teguran tu kenalah keluar dari hati yang betul-betul ikhlas, untuk membetulkan kesalahan. Bukannya teguran memerli yang akhirnya akan menimbulkan kebencian di hati sahabat.”
Ukhuwahfillah, disandarkan kerana Allah SWT. Pada saya sesuatu yang disandarkan pada Allah SWT itu adalah suatu yang suci, jauh daripada noda dosa. Sekaligus, ia sebenarnya adalah sejauh mana kita mahu bersama-sama sahabat kita dalam mencapai redha Allah SWT, yang akhirnya syurga Allah menjadi tempat tujuan bersama.

Bagaimana saya terinspirasi tentang ukhuwahfillah, uhibbukifillah ini?
Satu hari, seorang wanita berbangsa Jerman, penganut agama Kristian. Dia berkata, “Saya sedih melihat sahabat saya yang tiada agama (atheist). Saya nak mereka tahu tentang kewujudan Tuhan. Saya nak mereka sama-sama masuk syurga!”
Allahuakbar! Saya terdiam mendengar kata-kata itu, langsung memuhasabah diri, sejauh mana saya berusaha untuk bersama-sama rakan-rakan saya, dalam menuju syurga Allah? Sedangkan saya kata, saya sayang mereka kerana Allah.
Alhamdulillah, daripada Allah SWT